Gallery

KISAH ‘MUNDU’ DI PANTAI TIMUR SABAH


Pada 1988, sebuah kampung terpencil di Pantai Timur Sabah dicerobohi sekumpulan lelaki bersenjata dari Selatan Filipina menyebabkan kesemua penduduk lari dan berpindah ke kawasan lebih selamat.

Kejadian itu berlaku di Kampung Bongon Kecil, sebuah perkampungan nelayan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau, Kinabatangan.

tentera+sulu

Dalam peristiwa itu, kesemua barangan berharga penduduk kampung termasuk enjin sangkut, barang kemas, wang tunai dan peralatan elektrik dirompak.

Badaron Siong yang menjadi ketua kampung ketika itu telah mengarahkan anak buahnya segera berkemas dan melarikan diri ke Kampung Tanjung Aru, Sandakan kerana bimbang terhadap ugutan kumpulan penceroboh yang mahu datang semula ke kampungnya. Perompak umpama lanun ini lebih popular dengan panggilan ‘mundu’ di kalangan masyarakat Sabah.

Ketua Kampung Tanjung Aru, Haji Omar Montol telah bersetuju menerima perpindahan 13 keluarga dari Kampung Bongon Kecil atas dasar simpati dan kemanusiaan. KK Badaron dan  anak buahnya membina rumah di atas air di hujung kampung itu, meninggalkan keselesaan tinggal di rumah di atas tanah serta semua binatang peliharaan seperti lembu dan kambing di kampung mereka yang diceroboh.

Saya yang ketika itu bertugas selaku Pegawai Media ADUN Sukau, Datuk Dr. Zaki Gusmiah telah pergi ke Kampung Bongon Kecil bersama beberapa wartawan media arus perdana dan tempatan bagi meninjau sendiri keadaan perkampungan itu.

KK Badaron dan KK Haji Omar kini telah meninggal dunia, namun kejadian pencerobohan bersenjata dari kumpulan tertentu dari Selatan Filipina terus berlaku selepas itu, termasuklah terbaru di Lahad Datu dan Semporna oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka tentera Kesultanan Sulu.

Niat penceroboh berubah dari semasa ke semasa. Sehingga akhir abad ke-20, kumpulan kecil bersenjata yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Sulu dari Kepulauan Mindanao ini sekadar melarikan harta benda, khususnya enjin bot laju.

Pada awal abad ke-21, kumpulan yang menamakan diri mereka Abu Sayyaf bertindak lebih canggih dengan melarikan individu-individu tertentu khususnya di kalangan ahli perniagaan dengan tujuan peras ugut bagi mendapatkan sejumlah wang yang besar.

Namun dalam kes terbaru di Lahad Datu, niat penceroboh dari Selatan Filipina ini jauh lebih besar, iaitu atas nama Kesultanan Sulu, mereka mahu melarikan sebuah wilayah merdeka dalam negara Malaysia!

Sempadan di Pantai Timur Sabah yang begitu panjang dari Pulau Bangi, Kudat di utara hinggalah Pulau Sebatik, Tawau di selatan Sabah pastinya menyukarkan kawalan keselamatan dilakukan bagi mengawasi pencerobohan.

Ianya memanjang dari Laut Sulu di utara hingga ke Laut Celebes di selatan. Terlalu banyak ‘laluan tikus’ di sepanjang sempadan yang biasa digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina untuk masuk ke Sabah.

Pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menubuhkan Zon Keselamatan Khas yang merangkumi Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau agak melegakan. Namun sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia menempatkan sebuah pengkalan tentera di Pantai Timur Sabah bagi mengawal kemasukan warga asing secara haram, khususnya dari Selatan Filipina.

marin10

Tempat paling strategik untuk penubuhan pangkalan tentera itu adalah di sekitar Tambisan, yang boleh diibaratkan ‘muncung Sabah’ berdasarkan kedudukannya dalam bentuk peta Negeri Di Bawah Bayu itu. Kedudukan Tambisan tidak jauh dari Kampung Tanduo, Lahad Datu yang diceroboh oleh tentera Kesultanan Sulu. Ianya juga terletak di tengah-tengah antara Kudat dan Tawau.

Semoga dengan wujudnya pengkalan tentera itu, Pantai Timur Sabah akan lebih selamat daripada ancaman pencerobohan anasir-anasir militan luar, khususnya dari Kepulauan Mindanao.

Cerita dipetik dari http://khusairitgmalim.blogspot.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s